Setiap kali musim haji, hati menjadi sayu. Usia hampir
separuh abad, tetapi saya belum berkesempatan untuk menunaikannya. Namun tidak
putus asa, saya bersama-sama lain umat Islam yang senasib akan terus berusaha,
berazam dan berdoa. Berdikit-dikit dalam berbelanja, menyimpan tenaga, membina
kesihatan, menyuburkan cinta, memperhaluskan adab dan akhlak sebagai bekal ke
sana suatu hari nanti. Pasti. Insya-Allah.
Semoga saat kematian datang setelah kita sempat menunaikan
Haji atau mati semasa kita sedang berusaha untuk menunaikannya di sana. Saya
yakin, cinta Allah itu bukan hanya di akhir tujuan, tetapi sudah ada ketika
kita melangkah memulakan perjalanan…
Kesempatan menunaikan umrah beberapa tahun yang lalu, saya
anggap persediaan jiwa dan ilmu untuk menunaikan haji pada suatu hari nanti.
Dengan sedikit pengalaman dan ilmu yang dikutip daripada orang-orang yang lebih
arif serta pembacaan buku-buku yang baik, telah saya nukilkan beberapa kisah
sebagai iktibar dari Makkah dan Madinah. Samada melalui artikel-artikel dalam
majalah atau buku-buku yang pernah diterbitkan.
Bimbang, tujuan ibadah dipinggirkan. Risau alat dijadikan
matlamat. Saya cuba melihati Haji dan Umrah pada sisi yang kekadang terlupa
oleh segelintir saudara seIslam kita. Itu umpama selumbar yang menusuk di jari,
atau pasir yang hinggap di mata… al hasil ibadah haji dan umrah menjadi kosong
makna, kontang isi dan tidak berkesan untuk membina peribadi. Jangankan
kesatuan peringkat ummah, kesatuan di peringkat ’rumah’ pun masih terkial-kial.
Menurut kajian terbaru Jakim, penceraian
dalam rumah tangga umat Islam di Malaysia makin parah!
Padahal tujuan rukun Islam yang didasari oleh rukun Iman itu
adalah untuk membuahkan ihsan. Ihsan itu adalah ’kesempurnaan akhlak’ – tujuan Rasulullah saw diutuskan untuk
manusia. Akhlak dengan Allah dan akhlak sesama manusia adalah buah pohon Islam
yang berasal dari benih rukun Iman. Maka ibadah Haji begitulah – stesyen
terakhir atau kemuncak ibadah yang sepatutnya mendekatkan kita kepada ‘out put’
akhir dalam beragama yakni akhlak.
Sayang, hasil ibadah umat Islam (khususnya Haji) masih
terlalu rendah. Ibadah ritual ini masih jauh membina spiritual ummah. Masih
terserlah ’kecintaan’ terhadap diri walaupun dalam langkah-langkah suci menuju
Ilahi. Sedangkan akrab dengan Allah itu dicapai dengan intim sesama manusia.
Keredhaan Tuhan itu adalah di telapak tangan simiskin yang
meminta, di perut sifakir yang kelaparan dan kehausan, di kantong siyatim yang
tertinggal pendidikan dan pelajaran, di gubuk sijanda yang susah dihimpit
kesusahan ataupun di saku pelajar yang kehabisan dana untuk menyambung
pelajarannya. Sinisnya, ramai sihaji dan
sihajah masih tega mengerjakan haji berkali-kali!
Lalu, di celah kekeliruan sendiri dan kecelaruan sesetengah
anggota masyarakat ini… saya nukilkan kisah-kisah dari Tanah Suci ini. Bukan
kisah misteri, ajaib atau karamah yang kerap menjadi bacaan popular tetapi
hanya kisah-kisah biasa yang cuba diberi nilai didikan dan peringatan. Semoga
hasrat itu tercapai. Lalu nikmatilah kisah-kisah dari Tanah Suci ini…
KISAH-KISAH DI TANAH SUCI
1) Mana integriti dan mana maruah?
Tanpa mempedulikan ocehannya saya terus menambah, ” aku
ingin melihat ahli-ahli politik yang berulang-alik mengerjakan haji dan umrah
bersikap jujur, telus dan integriti dalam ’politiking’nya.”
”Jangan mengharap terlalu tinggi,” ujar teman saya seakan
memujuk.
”Itulah kaitan antara Tanah Suci dan ’Tanah Realiti’ yang
kita huni sehari-hari. Haji itu kan ertinya menuju Allah? Jika benar Allah yang
kita tuju di sana, maka itulah yang kita bawa kembali ke sini.”
”Itulah yang terbaik, tapi bukan senang…”
”Hakikat ihram itu bukan pada pakaian yang dipakai dalam
jangka masa haji dan umrah sahaja, tetapi pakaian dalam seluruh kehidupan.
Pakaian takwa, yang haram kita tinggalkan…”
Kebimbangan melihat ibadah haji dan umrah menjadi satu
’escapisme’ di kalangan umat Islam ada asasnya. Rasulullah SAW sendiri pernah
mengingatkan bagaimana di akhir zaman, orang kaya, orang miskin, orang ternama
melaksanakan ibadah itu bukan kerana Allah. Ulama tradisional seperti Imam
Ghazali dan ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf Al Qardhawi juga pernah
mengingatkan dengan nada yang sama. Tujuan haji adalah untuk merubah diri. Yang
lalai jadi ingat, yang fasik jadi taat. Tetapi kini seolah-olah haji dan umrah
jadi ’mahar’ untuk meneruskan kefasiqan dalam gelar kesucian.
”Kau lihat sendiri, betapa ramai insan-insan insaf di Tanah
Suci kembali lupa bila kembali ke tanah realiti… Malah komen-komen mereka
seolah-olah bagai tak ada rasa bersalah langsung.”
”Mana kau tahu, mereka tu tak ada rasa bersalah?”
”Maaf, memang aku tak tahu. Sebab tu aku kata seolah-olah…”
Dalam hati saya terbayang bagaimana ada artis yang berazam
untuk terus ’bergelek’ selepas umrah dan seribu satu macam lagi pengakuan yang
’aneh-aneh’ sama anehnya sewaktu mereka menceritakan pengalaman-pengalaman luar
biasa ketika di Tanah Haram.
Saya teringat kuliah tarbiah tentang hakikat haji yang saya
catatkan 3 tahun yang lalu. Betapa adanya manusia yang menjadikan amal
kebajikan sebagai satu cara menghilangkan rasa berdosa. Rasa berdosa ketika
menipu dan rasuah dalam perniagaan, cuba dihapuskan dengan bersedekah kepada
fakir miskin. Rasa berdosa ketika bergaul bebas dan mendedahkan aurat dalam
membina kerjaya cuba dilupakan dengan umrah dan hibah (sedekah). Rasa bersalah
ketika mengamalkan politik wang cuba dilindungi dengan membina wakaf dan berderma.
Itu semua bukan perbuatan baik yang cuba memadamkan dosa
untuk bertaubat tetapi perbuatan baik untuk menghilangkan rasa berdosa supaya
dapat terus melakukan dosa dengan hati yang lega. Atau ‘topeng’ yang dipakai
untuk memberi wajah baik pada imej muslim yang sering dicalarkan dengan
sengaja. Ya, betapa banyak haji dan hajah yang meneruskan cara hidup yang tidak
Islamik tanpa rasa segan silu lagi kerana mereka pun pernah ke Makkah. Rukun
Islam mereka telah lengkap!
”Taubat, itu menyesal. Terus-terusan merasa berdosa. Rasa
berdosa itu kemudian menggerakkan individu tersebut menempuh syarat-syarat
taubat berikutnya. Yakni berhenti melakukan dosa, berazam tidak mengulanginya
lagi dan bagi dosa sesama manusia wajib melunaskan semua kira-bicara soal
harta, maruah, agama dan lain-lain.”
Masih terngiang-ngiang pesanan guru agama itu.
”Tetapi rasa berdosa yang cuba dihapuskan tidak begitu. Ia
tidak menimbulkan penyesalan, bahkan ia umpama ’lesen’ yang memberi rasa aman,
rasa seronok untuk meneruskan dosa. Seorang akan rasa bersih dalam kotor dosa
yang menipu-daya.”
”Eh, kenapa kau diam saja? Apa buktinya mereka tidak ada
rasa berdosa?” tempelak teman saya.
Ah, bagaimana ingin saya jelaskan tentang nasib ’orang lain’
ketika jiwa sendiri hakikatnya masih terpenjara di Tanah Realiti untuk terbang
ke Tanah Suci. Teringat kata-kata hukama, ”seseorang sudah dikira berdosa
apabila dia merasa tidak berdosa!”.
mne ko copi nie????
ReplyDeleteheheee...